Friday 5 April 2013

Rakyat Selesa dengan Manisfesto BN

Manifesto BN bakal pikat pengundi tatkala PKR berbalah

KUALA LUMPUR 5 April - Tatkala kain rentang dan bendera parti mula memenuhi seluruh pelosok negara, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) malam esok yang akan menekankan komitmen berterusan beliau untuk membawa perubahan bermakna bagi mengubah kehidupan semua rakyat Malaysia.

Pentasnya ialah di Stadium Tertutup Putra di Bukit Jalil, venue bagi sebilangan pemain badminton negara yang telah berjuang dan menitiskan keringat untuk mengharumkan nama Malaysia.

Najib yang mengetuai BN buat julung kalinya dalam pilihan raya umum sebagai Perdana Menteri akan disertai pemimpin-pemimpin parti komponen gabungan itu yang mewakili semua kumpulan etnik dan negeri di bawah pemerintahan BN.

Selaras dengan manifesto BN pusat itu, setiap negeri juga akan mempunyai manifesto sampingan untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan isu setempat.

Tempo Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin memuncak hari ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan akan mengadakan mesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Perdana Menteri menjalankan tugas seperti biasa hari ini dengan merasmikan majlis pecah tanah projek Masjid Cyberjaya bernilai RM62 juta dan beliau turut mengumumkan projek pusat bandar raya Cyberjaya RM6 bilion serta projek pembangunan bercampur RM1 bilion yang turut termasuk 749 unit rumah mampu milik berharga RM220,000 dan RM250,000 sebuah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Sementara itu, isyarat daripada parti-parti politik membayangkan pemilihan calon dan pembahagian kerusi masih dibincangkan.

Soalan cepumas ialah sama ada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan berdepan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Abdul Ghani, yang menerajui Johor selama empat penggal, tidak menafikan atau mengesahkannya semasa ditanya oleh wartawan semasa ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Ledang yang merupakan kawasan Parlimen yang turut meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Serom yang dipertahankannya pada pilihan raya umum 2008.

Beliau hanya menjawab: "Nanti". Keputusan Lim untuk bertanding di Gelang Patah buat pertama kalinya tidak dipersetujui anggota akar umbi, menurut Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng yang juga berhasrat bertanding di kerusi itu.

Selepas membisu selama dua minggu, Jui Meng telah mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan berkata penduduk setempat kecewa dengan pucuk pimpinan pembangkang yang tidak membenarkan beliau bertanding di kerusi itu. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130406/px_08/Manifesto-BN-bakal-pikat-pengundi-tatkala-PKR-berbalah#ixzz2PdwaIIuI
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment